2.28.2014
2.22.2014
Sajak Kabur: Serangka Berbalut Guni
serangka berbalut guni:
serangka berbalut guni
si tua tertongkat reput karat
si khadim duduk menyembah bumi
sang khidmat menunduk taat
sendawa & berbangga
ketawa & berdosa
menguap lantang sedap
terbersin oleh bau bacin
jangan terlampau laju melanggar tartil
hafazanmu terlupa bawa rentak batil
tidak laju sangat lebih selamat
juga tidak lambat,lebih berkat
kias tatkala si Wali menadah tangan,
maka geletar si bongkak merayu
jangan kau biarkan kopiah ditanggalkan
walau sekitar suasana nafsu
orang yang dungu akan ditanya
tapi orang yang tahu akan didakwa
pengalaman itu sebaik pengajaran
tapi pendengaran baik dari percakapan
seraya bersabda sang esa
bukankah aku tuhanmu semua?
frasa dialog ulang waktu atas langit
bisakah waktu dalam bumi dikumit?
serangka bebalut guni;
23 Jun 2013
2.20.2014
Sajak Kabur : Haihh~
"Haihh~"
deru hembus nafas itu berbunyi
berdegup hembus selari nadi
mendengus dan mengeluh
tambah pusing segala keruh
bercampur segala baur
lemas dalam lumpur
alam indah sudah terkubur
padam mudah segala syukur
sederu deram
meluru geram
membungkam suram
atas apa yang kau takkan faham
Haihh~
Haihh.. 20 feb 2014
2.01.2014
Sajak Kabur : Mamai
Mamai
mamai antara mimpi dan igau
tertunduk dengan cahaya silau
risau dalam jiwa yang kacau
mahu maju masih berkalau
orang sudah terjaga bermimpi
aku masih berdengkur lagi
orang sudah lama berdiri
tapi ku masih tidur lagi
damai dalam mamai
mamai dalam ramai
segala terbengkalai
semua tak tercapai
lepaskan rantai
belenggu malasmu
segera kau gapai
segala citamu..
ayuh kita bangun bersama
capai segala impian cita
bermimpi mesti di dalam jaga
saksi buktikan pada dunia..
gerak bertindak
bukan menidak
terus menapak
menuju puncak!
Mamai,
1 Febuari 2014
*dalam selimut
1.31.2014
Sajak Kabur: Kononnya
Kononnya:
Kononnya mahu ke syurga
jalan dipilih tuju neraka
Kononnya mahu ke syurga
tapi derhaka pada ibu bapa
Kononnya mahu ke syurga
tapi pakaian mencolok mata
Kononnya mahu ke syurga
pada pasangan pula tak setia
Kononnya mahu ke syurga
pada jiran tak bertegur sapa
Kononya..
Kononnya mahu ke syurga
amanah diterima dikhianati pula
Kononnya mahu ke syurga
di majlis ilmu tidak pernah bersua
Kononnya mahu ke syurga
rasuah haram diterima jua
Kononnya mahu ke syurga
solat wajib tak pernah sempurna
Kononnya mahu ke syurga
kepada Allah tak endah berdoa
Kononnya mahu ke syurga
seumur hidup tak pernah menderma
Kononnya mahu ke syurga
walhal jalan dipilih tuju ke neraka...
Zarzaie Dayat, 2014..
*reading my father's poem
1.22.2014
Sajak Kabur: Dialog goblok
Dialog kamu
dalam travelog monolog
aku, galak tertolak
selok belok
qadar qada'
bersimpang -siur
berluk-luk, berleku-lekuk
berkusik -kusau
dalam kacau racau
mimpi igau ngigau
gelak bahak kau
menyeringai menyeriau
kelam kabut
kusut serabut
berpintal sebut
dalam keras lembut
kita berbeza karung
berbeda kelubung
tak sama kantung
perlu sedar diuntung
Bahasa orang dulu
timbul untung sabut
tenggelam untung batu
rezeki tidak perlu rebut ribut
jangan kau lupa
satu gandar roda
menanti titi masa
kadang di puncak pundak
karang di henyak pijak
perlu syukur bukan berlagak
harus akur bukan riya'
dalam sayut sayup
kering sampai kuyup
bila sampai kudrat rabb mu kau susup
lekas pantas dada rasa gugup
lalu deras mulutmu ku tutup
dengan bisik lafaz kukup
yang menyusup:
goblok!
dialog goblok,
22 jan 2014
12.23.2013
Sajak Kabur :Tawadhu'
Tawadhu' itu sifat,
terlipat dalam makrifat..
tunduknya hamba itu hakikat,
kerana hanya tuhan yang maha hebat.
tidak salah rendah diri,
lebih mulia dan disegani
kerna bagus ikut resmi padi,
semakin tunduk, semakin berisi.
apa untung bangga diri,
tiada faedah jua fungsi
tegak bagai batang jagung
lapis banyak, isinya kosong
tidak salah rendah diri,
lebih mulia dan disegani
kerna bagus ikut resmi padi,
semakin tunduk, semakin berisi.
apa untung bangga diri,
tiada faedah jua fungsi
tegak bagai batang jagung
lapis banyak, isinya kosong
12.08.2013
Sajak Kabur : Pudar Sang Taqwa
oh, rasa bisa itu
telah terlulu bebar terbiasa.
kerana terlalu benar berbisa
bawah sukatan sedar yang pudar
gusar rasa pedar penawar
sudah tawar.
piawaian sukatan
telah ampuh tersekat
atas berat nafs terlafas
bila terlupa gerangan siapa diatas
yang dulu lembut kian mengeras
hati makin mati
jiwa ingin meronta
sudah jadi darah daging
sudah keliru mana satu
sudah biasa diri terpaling
jadi kebah sudah rasa itu
pinta pohonan
ampunan dari tuhan
merimbun rahmat
pujuk datang salam selamat
atas jiwa yang gegar rasanya
sudah pudar.
Pudar sang taqwa,
12.00 am, 8 Disember 2013
11.19.2013
Sajak Kabur : Si Comel Montel
Hey si comel montel
dengan juih bibir mungil
mengomel kecil
dalam suara gigil kerdil
menyanyi dalam bahasa bayi
yang sedikit pun aku tak mengerti.
dengan mulut comot
petah pelat pekat
bersama hingus likat
dan liur melekat
mengadu minta dimanja
bicara dia sesungguhnya
bikin hati ceria
diari dari diri kecil
penuh mulus kudus
bahasa jujur dan tulus
penuh manja menggerenek
merengek di pagutan nenek.
hey si gadis kecil
moga jadi penyejuk mata
papa dan mama
moga kelak dewasa
jadi muslimah bertaqwa.
19 November 2013
19 November 2013
11.15.2013
Sajak Kabur :Musafir fakir kerdil
Awal Bismillah bisik lidah
Hafal Alhamdulillah risik penyudah
Allahuakbar sebut gah segala raya
Subahanallah peri puji Sang pencipta
renung sendiri dalam tafakur
sedar diri akur bersyukur
merentas sendiri jalan takdir
lintas seorang laksana musafir
adapun hanya seorang hamba
hina dina penuh silah dosa,
mengharap belas kasihan ihsan,
menumpang bertapak di bumi tuhan
bukan pujangga bijak bermadah,
bukan professor pandai falsafah,
bukan penglipur lara petah berkisah,
juga bukan pendeta suka seloka,
malah bukan sasterawan membuka kata,
langsung bukan mufassir membuka tafsir,
hanya ini susunan kata tamsil,
si musafir fakir kerdil.
Sajak Kabur : Tanda - tanda
tanda tanya,
tanda koma,
atau tanda tanda seru,
dalam tanda-tanda hidupmu
pahit pudar
tawar pedar
manis halwa
atau masam membungkam
usah muram
teruskan
gagah gigihkan
segala semua sekadar hentian,
penanda buku catatan amalan
bergerak laju
melangkah maju
serah berpasrah,
kerna hidupmu
belum tanda noktah.
tanda -tanda, 11 muharam1435H
11.11.2013
Sajak Kabur: layu
terkadang aku layu
dibuai syahdu rindu
pada dunia yang tak jelas
bila pengakhir batas
terkadang aku keliru kawan
pada salah faham fikiran
usia muda bukan awalan
mati nanti- nanti tua sempat lagi.
terselalu aku leka
dalam suka sementara
hilai tawa dusta
dalam noda dosa
ajal boleh jadi
bila - bila suka
tapi kenapa aku ini
suka-suka lupa?
zikrul maut, pengakhir malam
11 november 2013
11.07.2013
Sajak Kabur : Caligynephobia
Dalam gegar
ada gegak menggelegak
dalam sukar
berpada akal sebelum terjebak
walau dalam nakal datang mekar semarak
waspada damak bencana
mara dari dalang segala bala bahaya
berlegar debak - debar
dalam diri hanya aku tahu betapa sukar
dalam hati hanya kamu tuhan tahu, tahankah apa aku ingkar
Maaf, aku insan penuh khilaf
payah menjaga cahaya hati yang kian malap
jadi berpada aku,
pesanan ikhlas ku,
tembok itu,
minta jangan lalu.
biar ada garis sempadan
antara aku dan kamu,
hai perempuan.
biar iman
beri jawaban.
6 November 2013
"Allahma inni 'auzubika minal fitnatinnisa' wa 'azabil qabr.."
Sajak Kabur : Solat Jenazah
Takbir getir terakhir
bersama baris rapat
mengampu rahmat
tanda kehormat
yang kali penamat
...
...
sekujur tubuh bisu
layu tanpa nyawa
terbujur membujur dihadap ketua
satu baris kata
satu nada doa,
moga rohmu dicucur rahmatNya
...
...
bayu sayu meluru
bikin talkin syahdu
terakhir pesanan
yang kali sekian
6 September 2013
kullu nafsin zaaiqatul maut.
innalillahi wa inna lillahi raji'un
kullu nafsin zaaiqatul maut.
innalillahi wa inna lillahi raji'un
11.05.2013
Sajak Kabur : Bunga Ungu
kudup bunga ungu mekar
bikin hati bugar
segar membongkar
suka dalam sangkar
hati.tukar suram muram
adat bunga baru kembang
gamat seia kumbang datang
curi harum semerbak
hingga hilang seri tampak
kucup harum mewangi
sayang cuma kembang sehari,
bila bunga ungu layu
rasa suka tukar sayu
bunga ungu,
5 November 2013
11.04.2013
Sajak Kabur : Hijrahlah.
hijrahlah,
berubahlah
tinggal segala indah
legakan segala gundah
legalkan semua pahit gurah
lepas semua balah
ungkai seluruh silah salah
hijrahlah,
berubahlah
selurus kisah sirah
setulus iktibar rencah
dalam jalan ibrah
renung akur mohon maghfirah
menung tafakur kembali fitrah
lari dari kelam dosa gundah
kembali kesisi rahmat mencurah
biar susah
tiap payah
ada ganjaran
dari tuhan
telah Rabbmu beri madah
dalam payah ada mudah
sungguh dalam payah ada mudah
maktub dalam surah
buat teladan ummah
salam maal hijrah 1435
1 Muharam 1435
4 November 2013
11.03.2013
Sajak Kabur : kisah individu malas
culas
obsesif norma normal yang mulai kebas
diprejudis pesona personal negatif
jadi aditif, jadi seduktif
membelai tubuh terkulai tanpa gerakan aktif
kuat yang telah berkulat
telah lama amat tidak diperkuat.
membungkam muram
dalam angau angan semalam
lalu semangat itu lemah
dibelai rebah
kebah dalam resah
dalam mimpi zon indah
terkaram yang memang aku faham
tak dapat dihadam
atas silap sikap
diri yang cemerkap
telah puas
aku bermalas
membazir sisa nafas
membunuh masa emas
yang makin memakan hari
mari ke mari,
entiti si rajin ke sini
kerna aku telah lama merindui
3 November 2013
10.15.2013
Sajak Kabur : Aidiladha
ruminan herbivor itu
menunduk akur layu
tanda faham, ajalnya kan tiba
lewat pagi esok.
rambo berkilau belati
rambo berkilau belati
dipertajam lagi
saban tugasan tahunan
diasah darah merah
memperingat kisah
si Ismail yang berserah
jadi lagenda indah
pengajaran buat ummah.
salam Aidiladha, dunia
10.08.2013
Sajak Kabur : Angan diri
Hari ini
aku masih di sini
lagi
sunyi sendiri
berdiri pada tapak paksi
kelam muram semalam
capaian,piawaian, gapaian orang
penuh indah
Aku tak endah.
masih mencari diri sendiri
dalam kelam semalam
Tapi tadi
aku renung diri
sampai bila harus begini?
tekad diri
perlu ku bina peribadi
latih personaliti
kumpul segala macam
pengalaman dalam perjalanan
pengalaman dalam perjalanan
sedar ini cuma angan -angan
tukar pudar segala impian
hai, diri ku bisik hati:
"Sampai bila harus begini?"
Sajak Kabur : Terima Kasih teman
Terima kasih kawan
atas segala penghargaan
pengorbanan
Terima kasih kawan
sudi menemani
sunyi diri ini
Terima kasih
kerana sentiasa jadi peneman
kala aku dalam kedukaan
waktu dalam kelam atau suram
setiap masa & keadaan
terima kasih kuucapkan
buat kawan - teman
peneman dalam perjalanan
mencari kasih tuhan.
10.07.2013
Sajak Kabur : Pergi kerja
Tuhan hari ini
aku mahu bekerja
murahkan rezekiku
mudahkan urusanku
Ku ingin jadi satu
Muslim berjaya
Ku ingin Papa Mamaku
rasa berbangga
punya anak berwawasan
jadi bujang bermasa depan
ku ingin berjasa
pada nusa dan bangsa
Aku ingin berjaya
pergi kerja
pergi kerja
pergi kerja
cari lauk
pergi kerja
pergi kerja
pergi kerja
cari redha
pergi kerja
pergi kerja
pergi kerja
cari Allah
Tuhan duit gaji nanti
ada niat ku janji
Paling utama
belanja Papa & Mama
ada juga bahagian, hak mereka yang memerlukan
juga tak kulupakan, tabungan masa depan
ada duit lebih sikit, raikan kawan kawan
dan paling penting sekali, simpanan untuk naik haji.
pergi kerja
pergi kerja
pergi kerja
cari lauk
pergi kerja
pergi kerja
pergi kerja
cari redha
pergi kerja
pergi kerja
pergi kerja
cari Allah
ingat selalu mama pesan
kerja ini amanah tuhan
buat dengan sungguh -sungguh
jangan banyak mengeluh
jangan engkau curi tulang
tak mau tikam belakang orang
kerja elok -elok
mudah cerah hari esok.
pergi kerja
pergi kerja
pergi kerja
cari lauk
pergi kerja
pergi kerja
pergi kerja
cari redha
pergi kerja
pergi kerja
pergi kerja
cari Allah
Subscribe to:
Posts (Atom)





